ALOR SETAR – Seorang lelaki warga Myanmar dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah mengaku bersalah menawarkan rasuah kepada anggota polis pada 19 Februari lalu.
Hakim Murtazadi Amran turut memerintahkan tertuduh, Abdul Karim Ismail, 47, dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda dikenakan.
Tertuduh tidak membayar denda tersebut.
Mengikut kertas pertuduhan, Abdul Karim yang bekerja sebagai buruh didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan Kampung Pering, Kubang Pasu dekat sini kira-kira pukul 6.15 petang, 19 Februari lalu.
Dia didakwa menawarkan rasuah sebanyak RM200 kepada Konstabel Mohamad Syazril Mhd. Azhari sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu tidak memiliki lesen memandu. – K! ONLINE