PADANG BESAR – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Perlis mematahkan cubaan menyeludup masuk kira-kira 277.7 kilogram (kg) gamat kering bernilai RM83,310 dari Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, Selasa lalu.
Bekalan gamat kering itu dirampas kerana dipercayai tidak memiliki permit import yang sah.
Pengarahnya, Mohamad Arshad Raffin berkata, barangan tersebut ditemui selepas menahan sebuah lori yang membawa pelbagai jenis ikan basah dan sotong dari negara jiran kira-kira pada pukul 11 pagi.
Katanya, hasil pemeriksaan rutin mendapati di dalam lori tersebut terdapat gamat kering seberat 277.7 kg yang diletakkan di dalam 12 tong.
“Dagangan berkenaan ditahan untuk tindakkan lanjut oleh Maqis kerana dipercayai tidak memiliki permit import yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – K! ONLINE