MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menegaskan, peluang mereka memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini akan bergantung kepada keputusan menentang Chelsea pada aksi di Stadium Stamford Bridge awal pagi esok.
Bagi Solskjaer, kemenangan ke atas The Blues akan kembali memberikan tekanan kepada pilihan utama, Manchester City yang berjaya merampas kedudukan pendahulu liga daripada United sejak 26 Januari lalu.
Biarpun ketinggalan 10 mata dengan City, namun pengendali berusia 48 tahun itu tetap optimis The Red Devils mampu melakukan kejutan dan pada masa sama memastikan mereka kekal dalam kelompok empat teratas hingga akhir musim ini.
“Fokus sekarang adalah mengejar City tetapi pada masa sama Chelsea sedang mengintai untuk memintas kami di tempat kedua. Kekalahan kepada Chelsea tentunya kembali membuka peluang buat mereka.
“Kami tidak boleh memberikan sebarang harapan kepada Chelsea untuk mengejar kami. Saya percaya kemenangan ke atas Chelsea secara tidak langsung turut membuka peluang kepada kami merapatkan jurang dengan City,” katanya.
Begitupun, Solskjaer percaya ia bukan tugas mudah untuk menewaskan Chelsea berdasarkan keputusan pertemuan terdahulu antara kedua-dua pasukan yang dilihat seimbang.
Biarpun United berjaya mencatat tiga kemenangan daripada lima pertemuan terakhir, namun ia tidak boleh dijadikan ukuran untuk menentukan pemenang awal pagi esok.
Ini kerana Chelsea masih belum tewas sembilan perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan sejak 24 Januari lalu.
Jika mahu merebut gelaran EPL musim ini, United tiada pilihan selain mencatat kemenangan ke atas Chelsea dan satu lagi pasukan dari London, Crystal Palace tiga hari kemudian sebelum berdepan City di Stadium Etihad pada 8 Mac. – AGENSI