PUTRAJAYA – Vaksin Covid-19 Sinovac selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan MH319 kira-kira pukul 9 pagi tadi.
Vaksin itu tiba secara pukal dalam bentuk cecair sebanyak 200 liter dan diterbangkan dengan penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C) menggunakan pesawat Airbus 300.
Ketibaan vaksin itu disambut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong.
Turut hadir Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta Duta Republik China ke Malaysia, Ouyang Yujing.
Semalam, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi kenyataan akhbar memaklumkan vaksin keluaran China itu diterbangkan dari Kilang Sinovac di Beijing, China oleh MABkargo Sdn. Bhd. (MASKargo).
Perjalanan vaksin itu dari kilang Sinovac di Beijing, China telah diuruskan oleh Sinovac dan Pharmaniaga Logistics Sdn. Bhd. melalui perjanjian di peringkat global.
Pada 20 Februari lalu, sebanyak 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech selamat tiba di KLIA Sepang melalui penerbangan MH604 yang dikendalikan MASKargo. -K! ONLINE.