LONDON – Pelumba Belanda, Max Verstappen belum terlintas untuk menyertai pasukan Mercedes bagi menggantikan tempat Lewis Hamilton dalam perlumbaan Formula Satu (F1) musim depan.
Hamilton hanya menyambung kontrak semusim bersama Mercedes, namun timbul khabar angin bahawa pasukan itu berminat mendapatkan khidmat Verstappen jika juara dunia tujuh kali tersebut membuat keputusan untuk bersara.
Ia berdasarkan kemampuan Verstappen yang muncul antara empat nama pemandu F1 selain George Russell, Esteban Ocon dan Valtteri Bottas dijangka bersaing merebut gelaran juara dunia menjelang pembukaan saingan musim baharu pada 21 Mac depan.
Verstappen, 23, juga dikatakan mempunyai klausa dalam kontraknya yang mana pemandu Red Bull itu berhak menyertai pasukan lain jika tidak mendapat jentera kompetitif.
Bagaimanapun, Verstappen menepis dakwaan tersebut dan menegaskan dia sedang berusaha melakukan persiapan terbaik bersama Red Bull kerana cuma ada tempoh dua minggu menjelang aksi pramusim di Bahrain nanti.
“Saya hanya fokus pada prestasi sendiri dan cuba lakukan yang terbaik musim ini. Saya tiada masa untuk memikirkan mengenai perpindahan pasukan,” katanya.
Dalam masa sama, Red Bull dikatakan sedang bersiap sedia untuk membangunkan unit kuasa sendiri tahun depan berikutan pengeluar enjin Honda menarik diri daripada perlumbaan F1 musim ini.
“Ia adalah satu tindakan berani daripada Red Bull tetapi biarlah pasukan tentukan mana yang terbaik. Saya tidak mahu fokus terganggu kerana saingan kali ini amat penting buat saya,” jelas Verstappen. – AGENSI