AMSTERDAM – Bintang tenis No. 2 dunia, Rafael Nadal enggan mengambil risiko kecederaan yang dialaminya ketika ini sekali gus menarik diri daripada Kejohanan ATP Rotterdam minggu depan.
Nadal, 35, masih bergelut dengan kesakitan di bahagian belakang badannya selepas tewas kepada Stefanos Tsitsipas pada suku akhir Terbuka Australia di Melbourne baru-baru ini.
“Walaupun kecewa tetapi saya terpaksa membuat keputusan menarik diri daripada kejohanan di Rotterdam demi kebaikan karier saya.
“Semua orang tahu saya mengalami kecederaan di bahagian belakang badan di Australia. Kecederaan itu bermula di Adelaide dan berlanjutan sehingga ke Melbourne,” kata Nadal.
Nadal mengakui, dia dapat menyelesaikan masalah itu buat sementara sewaktu di Australia tetapi doktor menasihatkannya berehat selepas menjalani pemeriksaan di Sepanyol baru-baru ini.
“Doktor telah menasihatkan saya supaya tidak melibatkan diri dengan mana-mana kejohanan minggu depan.
“Saya sebenarnya tidak sabar untuk kembali ke Rotterdam kerana ini antara kejohanan kegemaran saya. Tahun ini adalah peluang untuk saya menunjukkan kebangkitan dan berharap dapat kembali bermain di sana pada masa depan,” ujarnya. – AGENSI