LAGU berjudul Mungkin Hari Ini Esok Atau Nanti nyanyian penyanyi muda kelahiran Indonesia bernama Anneth Delliecia Nasution barangkali sudah lama berada di pasaran, lebih kurang empat bulan.
Setakat ini, video muzik rasminya sudah mencecah lebih 62 juta tontonan dalam platform YouTube. Satu angka besar buat seorang remaja yang kalau di Malaysia, sedang bersiap siaga untuk menduduki Pentafsiran Tingkatan 3 (PT3).
Di negara ini, lagu ciptaan sepenuhnya remaja berusia 15 tahun itu masih setia berada di kedudukan teratas Carta Malaysia 50 dalam Spotify.
Antem melankolik luar biasa lagu berkenaan tidak hanya ‘menjual’ kisah kasmaran klise yang selalu dihadirkan dalam kebanyakan lagu. Akan tetapi, berdasarkan melodi, nukilan lirik dan perkongsian video muzik, karya tersebut cukup kuat mempromosi semaian kasih sayang sesama darah daging atau persaudaraan.
Menyentuh soal komposisi muzik, Anneth yang merupakan juara Indonesian Idol Junior musim ketiga membuktikan dia bukan seorang penyanyi yang biasa. Kehadirannya dalam industri dilengkapi dengan ilmu sebagai seorang pengkarya muzik.
Dia boleh menyanyi dengan merdu, memberi emosi dan penghayatan selayaknya selain bertindak sebagai komposer untuk lagu berkenaan.
Intro atau permulaan lagunya sahaja sangat ‘menangkap’ dengan vokal menusuk kalbu Anneth. Secara peribadi, korus lagu berkenaan merupakan antara yang paling ‘berbekas’ dalam mana-mana karya yang pernah penulis dengari dalam tempoh setahun dua ini.
Listrik vokal, emosi
Listrik vokal Anneth yang nyaring namun pada masa sama ‘berbisik’ memberi nilai tambah istimewa apatah lagi kejelasan vokalnya dikagumi ramai.
Acap kali mendengarkan lagu tersebut, sepertinya memberi peringatan yang sering kali manusia lupa bahawa hidup ini hanya bersifat sementara. Ketika masih diberi pinjaman kudrat dan nyawa, jangan malu untuk bilang perkataan sayang kepada orang di sekeliling kita.
Sesungguhnya, kita tidak punya ‘cermin sisi’ untuk setiap bahagian kehidupan. Selalunya, kita cuma rasa dan tahu semua keperitan berpaksikan kepada apa yang dilihat depan mata.
Ironi, manusia tidak akan pernah tahu apa yang berlaku di kiri dan kanan hidup seseorang. Terlalu banyak perkara tersembunyi yang dipalsukan dengan senyuman. Justeru, sementara masih ada ruang dan peluang untuk mengekspresikan rasa kasih sayang, gunakanlah dengan sebaik mungkin.
Buat bakat baharu seperti Anneth, lagu Mungkin Hari Ini Esok Atau Nanti merupakan momen emas, ‘a star is born’ buat dirinya. Mungkin perjalanan kerjayanya masih jauh, namun kejayaan lagu tersebut dinilai bukan sekadar dari segi kualiti semata-mata.
Aspek populariti juga dilihat sebagai satu semboyan bahawa dirinya berada di jalan yang tepat ketika ini. Bukan hanya di tanah air sendiri, Indonesia bahkan mungkin mampu menakluk satu nusantara suatu hari nanti.