fbpx

Jadi popular tidak bebankan Shin Hye-sun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHIN HYE-SUN menjadi antara aktres kelas A di Korea Selatan dengan deretan drama popular lakonannya.

LUCU, gila-gila dan bersahaja, antara karakter yang menjadi mainan aktres Shin Hye-sun dalam drama Mr. Queen. Memegang karakter unik iaitu seorang permaisuri dinasti Joseon bernama Kim So-yong yang berkongsi jiwa dengan seorang lelaki zaman moden, itu garapan menarik yang ditawarkan Hye-sun menerusi drama berkenaan.

Hye-sun berganding bersama aktor Kim Jung-hyun yang memegang watak Raja Cheoljong. Keserasian pasangan itu yang dikenali cukup mendunia dengan bakat di hadapan kamera disifatkan pengarahnya Yoon Sung-sik, saling melengkapi antara satu sama lain.

Malah pengarah prolifik itu juga mengakui bahawa lakonan Hye-sun membawa karakter So-yong ke satu aras yang cukup berbeza.

Kata-katanya benar kerana penonton seakan ketagih dan tidak sabar untuk melihat aksinya dalam episod baharu saban minggu.

KESERASIAN lakonan Hye-sun dan aktor Kim Jung-hyun dalam drama Mr. Queen menjadi faktor naskhah berkenaan menjadi antara yang tertinggi tinggi ditonton menerusi laman penstriman atau saluran kabel.

Hye-sun yang pertama kali terlibat dalam karya genre epik mendedahkan, hidupnya pasti diburu sesalan andai dia bertindak menolak tawaran membintangi drama berkenaan.

“Selepas membaca skrip dan membayangkan diri sebagai penonton, saya bercakap dengan diri bahawa audiens pasti sukakan drama ini. Jalan ceritanya beremosi, tetapi pada masa sama sangat lucu.

“Saya pasti akan menyesal jika tidak berlakon dalam drama ini dan berasa sedih melihat orang lain yang memegang watak permaisuri So-yong. Saya ingin mencuba dan merasai sendiri pengalaman menjadi So-yong,” kata aktres yang berusia 32 tahun itu.

Sempat mencetuskan kontroversi dan amarah sebilangan rakyat Korea Selatan pada peringkat awal tayangan kerana disifatkan tidak menghormati budaya serta sejarah tradisi negara mereka, Mr. Queen bagaimanapun menjadi antara drama yang paling tinggi ditonton dalam mana-mana laman penstriman atau saluran kabel.

MENGAKUI dirinya seorang yang pemalu, namun Hye-sun mengagumi Jung-hyun sepanjang menjalani penggambaran drama Mr. Queen kerana aktor itu sangat senang bekerjasama.

Selain jalan cerita menarik, keserasian Hye-sun dan Jung-hyun antara penyebab utama drama berkenaan meraih rating tinggi.

“Bagi saya, pengalaman paling sukar ketika peringkat awal penggambaran. Hal ini kerana, saya seorang yang pemalu. Tetapi demi mencipta keserasian hebat, saya dan Jung-hyun menjadi rapat. Jadi, tidak sukar untuk kami membawakan watak masing-masing.

“Dia banyak membantu dan merupakan pelakon yang paling kerap menambah skrip secara spontan. Banyak kali saya sangka terlepas dialog, tetapi rupa-rupanya Jung-hyun menambah skrip sendiri. Jadi, komedi dalam drama ini ada kalanya tidak mengikut skrip langsung,” jelas Hye-sun.

Karier

Sepanjang lapan tahun bergelar pelakon, aktres jelita itu pernah membintangi sebanyak 14 buah drama dan tujuh buah filem. Biarpun kariernya diawali menerusi drama School 2013 (2012), bagaimanapun kehadiran Hye-sun mula mendapat perhatian selepas membintangi drama romantik komedi popular, Oh My Ghost dan She Was Pretty pada 2015.

Graduan Seni Filem dari Universiti Sejong, Seoul itu kemudian nekad untuk tidak lagi menoleh ke belakang sementelah impiannya dari kecil sememangnya untuk bergelar seorang pelakon.

Sehingga kini Hye-sun telah memenangi tujuh anugerah termasuklah trofi Aktres Terbaik (KBS Drama Awards 2019) menerusi drama Angel’s Last Mission: Love.

BERMULA sebagai watak pembantu, kini Shin Hye-sun menjadi antara aktres paling laris di Korea Selatan.

“Saya memulakan kerjaya pada 2013 dengan watak yang kecil, tidak banyak babak berdialog dalam drama School 2013. Jadi saya rasa sangat terharu apabila diberi pengiktirafan menerusi anugerah.

“Saya berterima kasih kepada penulis skrip dan pengarah yang mempercayai bakat saya ketika orang lain tidak menghargainya,” ujarnya.

Sungguhpun begitu, pengiktirafan tersebut tidak datang bergolek, sebaliknya disulami dengan kerja keras.

Contohnya ketika membintangi drama Angel’s Last Mission: Love, Hye-sun terlebih dahulu menjalani kehidupan sebagai Yeon-seo (watak dalam drama berkenaan) selama tujuh bulan dengan menghadiri kelas balet.

KEINGINAN Hye-sun untuk bergelar pelakon sejak kecil didorong oleh aktor Won Bin yang ketika itu muncul menerusi drama popular Autumn In My Heart.

“Menjadi tugas saya untuk membuat penonton percaya dengan watak yang dibawa, misalnya penari balet. Walaupun bukanlah seorang penari, saya tidak mahu kelihatan kekok di depan kamera.

“Jadi, saya mengambil kelas balet selama tujuh bulan tanpa henti sehinggalah penggambaran tamat,” dedahnya.

Filosofi seni

Menyentuh tentang filosofi seni, jelas anak bongsu daripada dua beradik itu, sebagai pelakon dia perlu mengikut watak dan menjadi orang lain berdasarkan skrip. Jika tidak, lakonannya kosong atau tiada jiwa.

“Saya selesa menjadi orang lain menerusi lakonan. Tiada masalah untuk menjadi orang berbeza kerana semuanya mengikut skrip. Jika memerlukan saya menari, saya akan lakukannya. Begitu juga kalau diminta menyanyi. Itu yang anda boleh jangkakan daripada wanita bernama Shin Hye-sun,” tuturnya lagi.

Tidak dinafikan atas kesungguhan dan komitmen yang diberikan meletakkan Hye-sun hari ini dalam kategori pelakon kelas A di Korea Selatan.

TIDAK pernah terbeban hidup sebagai selebriti popular, Hye-sun sedar itu adalah harga setimpal yang perlu dibayar bagi seorang anak seni.

Selalunya populariti yang diraih sering dianggap sebagai beban oleh sesetengah selebriti kerana privasi terganggu. Sebaliknya berlaku untuk Hye-sun.

Baginya, dia sendiri yang memilih untuk berada dalam bidang seni dan menjadi pelakon yang dikenali adalah salah satu impiannya. Jadi, semenjak awal lagi dia sedar akan harga yang perlu dibayar apabila menjadi orang popular.

“Agak istimewa apabila peminat mengingati setiap momen seseorang pelakon, dari awal sehingga sekarang. Orang lain mungkin memandangnya sebagai beban, tetapi tidak bagi saya.

“Jika imbas kembali sewaktu awal kemunculan dalam industri, saya sendiri akan ketawa. Saya menerima momen tersebut sebagai sebahagian daripada sejarah diri. Secara spontan, saya tidak rasa malu sebaliknya bangga dengan pencapaian diri,” luahnya yang bakal muncul dengan sebuah filem thriller berjudul She Died.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI