HULU TERENGGANU – Seorang wanita warga emas yang lemah daya ingatannya dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke rumah di Kampung Gaung Hangus, Tok Dor, Ajil di sini sejak kelmarin.
Kehilangan Lijah Embong, 81, atau Mek Lijah disedari oleh salah seorang anaknya yang menjenguk warga emas itu kira-kira pukul 6 petang hari sama namun aduan kepada pihak berkuasa baru dibuat semalam.
Salah seorang ahli keluarga Lijah yang enggan dikenali berkata, warga emas itu yang tinggal bersendirian sebelum ini memang gemar berjalan seorang diri di sekitar kawasan kampung.
“Biasanya Mek Lijah akan pulang semula ke rumah sebelum Maghrib. Pergerakannya juga dipantau oleh anak dan cucu-cucu yang menetap berhampiran.
“Bagaimanapun, dia tidak balik rumah dan gagal dikesan. Kali terakhir Mek Lijah ditemui, dia dilihat merayau di sekitar kampung sebelum dihantar pulang oleh salah seorang cucunya beberapa jam sebelum dilaporkan hilang,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Dia berkata, ahli keluarga dengan bantuan penduduk kampung cuba mencari Lijah di lokasi yang dikunjungi warga emas itu sebelum memohon bantuan pihak kerkuasa pada pukul 9.22 malam semalam setelah usaha mereka buntu.
“Kami risau dengan tahap kesihatan Mek Lijah tidak begitu baik sejak akhir-akhir ini,” katanya. – K! ONLINE