IPOH – Seorang pegawai kanan polis berpangkat Inspektor dan lima anggota antara 14 individu yang ditahan ketika leka berhibur dan disyaki mengambil dadah dalam parti liar yang dijalankan di sebuah pangsapuri di Ipoh hari ini.
Serbuan pada pukul 1.30 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pegawai kanan berusia 30-an dan lima anggota pelbagai pangkat berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun itu bertugas di Kontinjen Perak.
Katanya, hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati hanya pegawai terbabit dan empat angggota positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.
“Dalam serbuan itu, kita turut menahan lima wanita tempatan dan tiga wanita Indonesia masing-masing berusia antara 20 hingga 40 tahun.
“Kesemua wanita tempatan dan dua wanita Indonesia yang ditahan itu juga didapati positif dadah,” katanya pada sidang akhbar di IPK Perak di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada premis berkenaan disewa atau milik salah seorang daripada individu yang ditangkap.
“Perintah tahanan reman akan dipohon di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini untuk siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya. -K! ONLINE