PETALING JAYA – Selepas dilanda beberapa kontroversi sebelum ini, pekerja syarikat kurier, J&T Express tampil dengan satu video yang menarik perhatian ramai di aplikasi Tiktok hari ini.
Menerusi video berdurasi 23 saat itu, kelihatan seorang pekerja syarikat itu sedang mengendalikan bungkusan dan barangan pelanggan di dalam sebuah gudang milik syarikat itu.
Walaupun barang diterima dalam kuantiti yang banyak, namun dia berjaya ‘mengawal’ kesemua parcel itu serta mengatur dengan penuh berhemah dan berhati-hati.
Sekali gus video itu jauh berbeza dengan video kontroversi sebelum ini memaparkan segelintir pekerja syarikat itu mencampakkan barangan pelanggan di salah satu gudang syarikat itu.
Rata-rata netizen memuji sikap pekerja J&T Express itu yang kini dilihat sudah ‘berubah’ selepas dilanda insiden kontroversi sebelum ini.
Pada masa sama, mereka berharap insiden dahulu tidak berulang dan meminta syarikat itu untuk terus menunjukkan khidmat penghantaran yang pantas dan cemerlang selepas ini. -K! ONLINE