fbpx

Penyokong, penduduk antijunta bertempur di Yangon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYOKONG tentera menyerang seorang penduduk tempatan dalam pertempuran yang tercetus di Yangon, Myanmar. - AFP

YANGON – Penyokong junta tentera membawa pisau dan lastik bertempur dengan penduduk Yangon yang antijunta di Myanmar hari ini dalam konfrontasi pertama antara kedua-dua belah pihak ketika pemerintahan tentera berlangsung hampir sebulan di Myanmar.

Negara itu dibakar api kemarahan dengan beratus-ratus ribu orang membanjiri jalan-jalan di seluruh negara untuk mendesak pemimpin awam, Aung San Suu Kyi dibebaskan dan Myanmar kembali kepada pentadbiran demokrasi.

Bantahan tersebut dibalas dengan tindakan keras pihak berkuasa dengan sekurang-kurangnya lima orang terbunuh sejak rampasan kuasa tentera pada 1 Februari lalu, manakala seorang anggota polis turut maut dalam protes tersebut.

Bagaimanapun, hari ini, kumpulan penyokong junta yang membawa sepanduk protentera pula berarak di bandar Yangon. Mereka bagaimanapun diejek oleh penduduk tempatan.

Pihak berkuasa memberi kebenaran kepada kumpulan penunjuk perasaan itu berarak ke Pagoa Sule iaitu mercu tanda di sebuah persimpangan utama di Yangon.

Pihak tentera mendirikan halangan di lokasi itu sejak beberapa hari lalu untuk menghalang penunjuk perasaan antijunta daripada berkumpul.

Menjelang tengah hari, pertempuran tercetus dekat stesen kereta api Yangon Central antara kumpulan penyokong tentera yang membawa paip, pisau dan lastik dan penduduk setempat yang mengejek mereka, kata beberapa saksi.

“Kumpulan projunta mempunyai hak untuk menunjuk perasaan tetapi mereka tidak wajar menggunakan senjata. Tiada penunjuk perasaan prodemokrasi membawa senjata,” kata Zaw Oo kepada agensi berita AFP.

Lelaki itu mempunyai kesan calar pada rusuknya selepas dia ditangkap sekumpulan penyerang.

“Mereka sebenarnya pembuli,” katanya.

Sementara itu, demonstrasi anti junta berterusan tanpa sebarang inisden di Yangon dengan kumpulan pelajar Universiti Yangon mengibarkan bendera parti Liga Nasional untuk Demokrasi pimpinan Suu Kyi sementara pekerja-pekerja perubatan berarak di beberapa persimpangan utama.

“Kami mahu melihat kerajaan haram ini tumbang,” kata seorang ahli farmasi.

Demonstrasi digelar ‘Revolusi Kot Putih’ itu merupakan sebahagian daripada gerakan keingkaran awam yang mengakibatkan sektor utama di seluruh Myanmar termasuk hospital, sekolah dan bank lumpuh. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI