MADRID – Pelari pecut Amerika Syarikat (AS), Grant Holloway mencipta rekod dunia baharu acara 60 meter (m) lari berpagar dalam dewan pada Jelajah Dalam Dewan Dunia di Madrid, Sepanyol awal pagi semalam.
Holloway, 24, mencetak masa 7.29 saat (s) untuk menjuarai aksi final 60 m lari berpagar kejohanan tersebut sekali gus memadam rekod dunia sebelum ini milik pelari Wales, Colin Jackson yang mencatat masa 7.30s pada Mac 1994.
“Saya tidak menganggap ini adalah perlumbaan sempurna tetapi saya gembira kerana dapat menunjukkan peningkatan prestasi dalam kejohanan ini.
“Saya tidak boleh terlalu berbangga dengan pencapaian ini kerana rekod dunia selalunya tidak bertahan lama. Mungkin selepas ini giliran pelari lain pula yang akan memecahkannya,” kata Holloway.
Bagaimanapun, kejayaan itu telah meningkatkan keyakinan Holloway yang kini berazam memecahkan rekod dunia dalam acara kegemarannya iaitu 110 m lari berpagar milik Aries Merritt dengan catatan masa 12.80s pada 2012.
Sebagai rekod, catatan peribadi terbaik Holloway dalam acara 110 m lari berpagar adalah 12.98s yang dilakukan di Austin, Texas dua tahun lalu.
“Rekod dunia 110 m lari berpagar sememangnya impian saya tetapi fokus saya lebih terarah kepada Sukan Olimpik Tokyo 2020. Matlamat tahun ini adalah memenangi pingat emas pada temasya berkenaan,” jelas Holloway. – AGENSI