JAKARTA – Harga cili padi atau dikenali sebagai cabai rawit merah di Kota Semarang, Jawa tengah dikatakan mencecah 100,000 rupiah (RM28) untuk satu kilogram, lapor portal Suara.com.
Harga cabai merah keriting ataupun cili merah pula dilaporkan mencecah 60,000 rupiah (RM17) sekilogram.
Seorang peniaga di Pasar Krapyak, Dewi berkata, kenaikan harga cili itu berlaku sejak bulan ini dan harganya berubah-ubah.
“Sejak bulan ini harganya tidak stabil, beberapa minggu lalu juga sempat ia naik,” katanya kelmarin.
Ujar Dewi, harga cili merah naik kelmarin iaitu daripada 55,000 rupiah (RM15) kepada RM17 sekilogram ketika ini.
Katanya, ada juga peniaga yang menjual mahal bagi cili padi iaitu 90,000 rupiah (RM25) hingga RM28 sekilogram. – AGENSI