fbpx

Sorok 141 gas LPG dalam bengkel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG anggota penguatkuasa KPDNHEP Johor memeriksa tong gas LPG dalam operasi khas di sekitar bandaraya Johor Bahru, Johor semalam.

JOHOR BAHRU – Tindakan peniaga yang menyorokkan petroleum cecair (LPG) tanpa memiliki lesen yang sah di dalam bengkel membaiki kenderaan serta tayar dapat dihidu pihak berkuasa.

Kegiatan itu berjaya dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri selepas melakukan serbuan pada pukul 3 petang terhadap premis berkenaan di Taman Daya di sini, semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Johor, Mohd. Hanizam Kechek berkata, dalam serbuan pukul 3 petang itu, pihaknya berjaya merampas dan menyita 141 tong gas, dua lori dan dua motosikal yang dianggarkan bernilai RM66,228.

Katanya, serbuan itu dibuat hasil risikan penguat kuasa selama dua minggu.

“Premis yang dilihat sebagai bengkel membaiki kenderaan serta tayar disyaki cuba mengelirukan pihak berkuasa dengan menjalankan aktiviti penjualan, pengedaran dan menjadikan tempat simpanan bagi tong LPG melalui pintu belakang premis.

“Tindakan diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dengan jumlah nilai rampasan sebanyak RM 66,228 dalam satu operasi khas di daerah ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Hanizam berkata, selain premis tersebut, KPDNHEP negeri juga melaksanakan operasi membabitkan premis runcit dan borong yang menjual LPG di seluruh daerah di negeri ini.

Katanya, pemeriksaan yang dibuat memberi tumpuan kepada penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dan Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 berkaitan pematuhan penjualan LPG mengikut harga kawalan termasuk juga kebenaran menjual melalui lesen yang dikeluarkan KPDNHEP.

“Berdasarkan rekod, sebanyak 210 premis diperiksa KPDNHEP Johor ke atas peniaga runcit dan borong yang menjual LPG mulai 18 Januari lalu sehingga semalam.

“Susulan pemeriksaan yang dijalankan, terdapat 14 kes direkodkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dan Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dengan jumlah kompaun bernilai RM7,000,” katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 13 kes adalah kesalahan gagal mematuhi Perintah Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan iaitu Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan 2020 kerana tidak meletakkan tanda harga kepada barangan yang dipamer untuk jualan.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI