PETALING JAYA – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya pemilik motosikal jenis Harley Davidson disaman polis atas kesalahan ekzos bising.
JSPT Bukit Aman dalam satu kenyataan berkata, gambar yang ditularkan berhubung insiden tersebut di media sosial telah disalah tafsir kerana tindakan saman yang dikenakan adalah bagi kesalahan nombor pendaftaran ‘fancy’.
“Saman dikenakan bagi kesalahan nombor pendaftaran ‘fancy’. Bukan kerana kesalahan ekzos bising semasa operasi JSPT Kontinjen Kuala Lumpur bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 20 Februari 2021 di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur.
“Operasi bertujuan menguatkuasakan peraturan dan undang-undang sedia ada terhadap pengguna kenderaan termasuk bagi kesalahan ubah suai ekzos menyebabkan bunyi bising melebihi had dibenarkan,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan, mana-mana kenderaan yang menggunakan peralatan dan aksesori mengikut spesifikasi keluaran asal kilang dianggap tidak melakukan kesalahan.
Bagaimanapun, jika terdapat pengubahsuaian dilakukan tanpa mendapat kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah menjadi suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan undang-undang. – K! ONLINE