fbpx

1,656 pemilik kecewa rumah tiada CF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nazilah (depan dua dari kiri) dan Mohamad (depan tiga dari kiri) mengadakan demonstrasi aman sambil memegang sepanduk.

KLANG – Impian seramai 1,656 pemilik Pangsapuri Seri Perantau, Pelabuhan Klang di sini menduduki rumah itu yang dibeli sejak 18 tahun lalu terus menemui jalan buntu apabila perumahan itu tidak mempunyai Sijil Layak Menduduki (CF) dan geran hak milik strata.

Ini menyebabkan mereka merayu campur tangan kerajaan negeri susulan masalah itu didakwa timbul akibat kecuaian pihak pemaju.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pangsapuri Seri Perantau, Mohamad Mat Zain, 65, berkata, keadaan mereka kini umpama ‘pendatang asing’ di bumi sendiri apabila pelbagai aduan diberikan kepada pihak bertanggungjawab didakwa tidak dilayan dengan sewajarnya.

“Kami tidak tahu hendak mengadu kepada siapa lagi. Aduan diberikan nampaknya dipandang sepi apabila kami tidak ubah seperti ‘bola’ yang ditolak ke sini dalam mendapatkan status hak milik dan CF itu.

“Rumah ini dibeli dengan bayaran bulanan dilakukan kira-kira RM300 hingga RM500 dan pinjaman perumahan itu telah habis dibayar penduduk. Pangsapuri itu mempunyai 12 blok unit kesemuanya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan demonstrasi aman diketuai Pengerusi pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) Selangor, Datuk Nazilah Idris dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di kawasan pangsapuri itu.

Bagi seorang penduduk, Syawal Mohd.Sabtu, mendakwa tindakan pihak pemaju yang membuatkan mereka bergantung tidak bertali itu adalah tidak sepatutnya terjadi kepada penduduk di Selangor.

“Pihak pemaju adalah nama gah dengan peranan mereka membantu menyediakan perumahan dan bukan membiarkan kami terus ‘sengsara’ dengan rumah telah dibeli namun tiada CF,” jelasnya.

Sementara itu, Nazilah menegaskan rata-rata pemilik telah habis membayar hutang pinjaman dan menunggu menduduki rumah tersebut.

“Bangunan cantik namun CF tiada seolah-olah tapak perumahan akan terus ‘berhantu’ sahaja tanpa penghuni.

“Jadi, Menteri Besar (MB) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari perlu campur tangan. Kita akan menghantar memorandum kepada pejabat MB dalam dua minggu sekiranya gagal menyelesaikan masalah ini,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI