PETALING JAYA – Biarpun kehidupan rumah tangga yang dinikmatinya hari ini kelihatan bahagia, pelakon Wawa Zainal mengakui dihimpit sesalan kerana berkahwin dengan Aeril Zafrel Sembilan tahun lalu.
Semalam, menerusi satu temu bual dalam Instagram bersama Datuk Prof. Dr. Muhaya Mohamad, Wawa berkata penyesalan itu muncul selepas dia berasa terkilan kerana menamatkan zaman bujang ketika namanya sedang berada di puncak populariti.
“Memang saya akui pernah berasa menyesal berkahwin dengan Aeril ketika itu. Saya berkahwin ketika nama sedang berada di puncak populariti dan cinta itu buta menyebabkan saya mengambil keputusan untuk berkahwin.
“Saya menyesal kerana tidak dapat meneruskan kerjaya lakonan saya dan menikmati kehidupan mewah seperti yang pernah saya impikan sebelum ini,” ujarnya yang menyambut ulang tahun perkahwinan kesembilan pada ini.
Sekitar sembilan tahun lalu juga, Wawa dan Aeril pernah menggemparkan dunia hiburan dengan kisah perkahwinan senyap-senyap mereka sebanyak dua kali.
Pernikahan pertama diadakan pada 25 Februari 2012 di rumah seorang pengurus Aeril bagi menghalalkan hubungan, manakala pernikahan kedua berlangsung pada 4 Februari 2013 dengan berlandaskan syariat dan undang-undang Malaysia. Sewaktu pernikahan kedua pula Wawa sedang. Perkara tersebut hanya terbongkar sekitar Oktober apabila Wawa selamat melahirkan anak sulung mereka.
Menghitung susah senang selama sembilan tahun bersama, Wawa bagaimanapun bersyukur kerana suaminya banyak bersabar selain banyak membimbingnya untuk menjadi seorang wanita Muslim sejati.
“Kalau Aeril kurang sabar, kami mungkin tidak lagi bersama seperti sekarang. Tetapi sifat kesabaran dia itulah yang membuatkan saya kagum.
“Saya mula bertudung selepas berkahwin kerana dia (Aeril) tidak benarkan saya keluar jika tidak menutup aurat.
“Ketika itu saya rasa sangat terbeban dan terpaksa (memakai tudung), tapi lama kelamaan, saya mula terima dan berubah sedikit demi sedikit,” ujar Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, 29.
Dalam temu bual itu juga, pelakon yang pernah membintangi drama Duda Terlajak Laris itu juga sempat berkongsi rahsia kebahagiaan dan rezeki dalam rumah tangga.
Ujar Wawa, jika suaminya ada melakukan kesalahan dan tidak meminta maaf, namun dia tetap akan memaafkan suaminya biarpun sekadar melalui niat dalam hati.
“Saya tidak mahu menyimpan dendam dalam hati kerana perbuatan itu akan menyekat pintu rezeki kami. Kami akan saling berbincang,” jelasnya yang kini bahagia dengan tiga orang cahaya mata. – K! ONLINE