fbpx

16,380 dos vaksin Covid-19 kumpulan pertama selamat tiba di Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pesawat yang membawa sebanyak 16,380 dos vaksin Covid-19 kumpulan pertama selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) Terminal Dua sebentar tadi. - Foto oleh IVAN AMIRUL

KOTA KINABALU – Sebanyak 16,380 dos vaksin Covid-19 kumpulan pertama selamat tiba di Sabah sebentar tadi.

Vaksin jenis Pfizer-BioNTech terbabit diterbangkan menggunakan pesawat jenis Boeing 767-200 milik Raya Airways dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang sebelum mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) Terminal Dua kira-kira pukul 12.40 tengah hari.

Hadir menyambut ketibaan vaksin terbabit adalah Menteri Kewangan ll merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun bagi mewakili Ketua Menteri.

Turut hadir Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir Shahelmey Yahya, Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong.

Terdahulu, Masidi sebelum ini memaklumkan proses pemberian vaksin kepada penerima fasa pertama di Sabah akan bermula selepas pelancaran program vaksinasi peringkat negeri yang dijadual pada 4 Mac depan dan bakal disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi berkata, pihaknya memperketatkan kawalan keselamatan sempena ketibaan bekalan vaksin Covid-19 kumpulan pertama di Sabah hari ini.

Hazani berkata, langkah keselamatan yang diambil termasuklah kawalan keluar masuk di pintu pagar utama KKIA Terminal Dua setibanya bekalan vaksin di lapangan terbang.

“Kita juga mengarahkan beberapa anggota untuk mengiringi kenderaan khas yang membawa bekalan vaksin sehingga ke pusat penyimpanan.

“Langkah ini diambil bagi memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku selain menjamin keselamatan semua pihak sepanjang proses penghantaran dilaksanakan.

Selain itu katanya, polis turut ditugaskan untuk membuat penghantaran bekalan vaksin sama ke Labuan pada hari sama sejurus vaksin tiba di Kota Kinabalu menggunakan kapal terbang miliki Polis Di Raja Malaysia (PDRM). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI