Oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN
SEBERANG PERAI – Lima pelajar sekolah antara lapan remaja yang ditahan polis selepas didapati melakukan kagiatan lumba haram di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Norzainy Mohd. Noor berkata kelima-lima pelajar yang berusia 15 hingga 17 tahun itu ditahan bersama tiga yang lain dalam Op Samseng Jalanan yang berlangsung dari pukul 5 petang sehingga 3 pagi tadi.
“Mereka didapati berlumba sesama sendiri dari plaza tol BORR Bagan Ajam menghala ke tempat pusingan-U Terminal Kontena Utara Butterworth (NBCT) sambil melakukan aksi berbahaya kepada pengguna jalan raya lain.
“Sepasukan anggota polis kemudiannya menahan mereka ketika berhenti di kawasan rehat dan rawat BORR,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Noorzainy menambah, sebanyak 29 tangkapan dibuat pihaknya membabitkan pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sepanjang tiga minggu operasi yang dijalankan. – K! ONLINE