Oleh ISWAN SHAFIQ ISA
SEBERANG PERAI – Sepasang suami isteri ditahan polis bagi membantu siasatan susulan dakwaan mendera pembantu rumah mereka di sebuah rumah di Kampung Baru, Bukit Mertajam di sini malam tadi.
Suspek berusia 50-an dan 60-an itu ditahan kira-kira pukul 9.30 malam selepas polis menerima laporan berhubung kejadian yang menimpa wanita warga Kemboja tersebut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, ketika serbuan, mangsa berusia 30-an ditemui di atas lantai dalam sebuah bilik di rumah berkenaan sebelum diselamatkan.
“Pemeriksaan fizikal terhadap mangsa mendapati, terdapat beberapa kesan kecederaan pada muka, kesan parut melecur pada lengan, luka bekas jahitan, dan beberapa kesan calar pada badan dan kaki wanita itu.
“Mangsa juga telah mengadu didera oleh majikannya (si isteri) dengan cara dipukul, disimbah air panas, dicubit dan sebagainya,” katanya kepada pemberita hari ini.
Shafee berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Seberang Jaya di sini untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, siasatan mendapati mangsa telah bekerja dengan pasangan itu sejak kira-kira dua tahun lalu dan diuruskan oleh anak mereka.
Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 13 dan Seksyen 44 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. – K! ONLINE