KUALA TERENGGANU – Kisah penderitaan seorang bayi lelaki berusia 43 hari, Sayyid Uwais Al-Qarni Mohd. Lekman yang dilahirkan dengan keadaan otak di luar tempurung kepala mendapat simpati ramai.
Ibu bayi itu, Fatin Hazlin Dahlia Mazlam, 29, berkata, dia terharu selepas kisahnya yang disiarkan Kosmo! telah membuka hati banyak pihak sama-sama menyumbang dana untuk pembedahan anaknya.
“Ramai di antara mereka (penyumbang) yang kami langsung tidak kenali sebelum ini. Terima kasih kerana membantu Adam (Sayyid Uwais Al-Qarni).
“Bantuan kewangan itu akan kami gunakan untuk membiayai kos pembedahan kepala Adam,” katanya ketika diziarahi Ahli Dewan Undangan Negeri Telemong, Datuk Rozi Mamat di rumahnya di Kampung Batu Hampar, Manir dekat sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan Sayyid Uwais Al-Qarni atau dipanggil Adam oleh keluarganya dilahirkan dengan keadaan otaknya berada di luar tempurung kepala, lumpuh dari bahagian pinggang, mempunyai lebihan air di dalam kepala dan menghidap penyakit saraf.
Bayi yang dilahirkan pada 13 Januari lalu itu telah menjalani pembedahan di bahagian belakang bagi membetulkan saraf tunjangnya sewaktu berusia tujuh hari.
Fatin Hazlin Dahlia berkata, dia dan suami masih belum dimaklumkan mengenai kos sebenar pembedahan kepala tersebut oleh pihak pengurusan hospital.
Jelasnya, ia mungkin akan dimaklumkan pada janji temu susulan Adam dengan doktor pakar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada 1 Mac ini.
“Saya rasa kosnya agak besar kerana ia melibatkan pembedahan besar dan kritikal. Kalau ikutkan kami, memang tidak mampu kerana suami hanya bekerja kampung, manakala saya pula suri rumah,” katanya.
Sementara itu, Rozi berkata, beliau akan memohon bantuan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba untuk mencari jalan bagi memudahkan urusan pembedahan Adam.
“Saya difahamkan masalah dihadapi Adam ini telah dipantau rapi oleh doktor pakar HSNZ.
“Kehadiran saya pada hari ini (semalam) bukan sahaja untuk menghulurkan bantuan awal, malah bagi memberi semangat kepada keluarga Fatin untuk terus cekal hadapi ujian ini,” katanya.