HONG KONG – Harga emas melonjak sekali gus mencatat rekod baharu semalam berikutan pelabur mencari dana selamat ketika pandemik koronavirus menular ke seluruh dunia.
Kenaikan tersebut turut disokong oleh kelemahan mata wang dolar Amerika Syarikat.
Harga logam itu naik lebih satu peratus kepada AS$1,930.48 (RM8208.40) satu auns atau 28.35 gram dalam dagangan di Asia, manakala penganalisis-penganalisis berkata, harga emas boleh melepasi paras AS$2,000 (RM8,504.00) dalam masa terdekat.
Kenaikan tersebut juga bersamaan sekitar RM290 untuk satu gram emas dan menghampiri RM300 satu gram.
Ketika virus Covid-19 tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda, ramai pedagang beralih kepada emas yang dilihat sebagai pelaburan selamat semasa waktu krisis dan ketidaktentuan.
Permintaan terhadap komoditi tersebut turut membantu menaikkan harga perak. Harga logam itu meningkat lebih dua kali ganda setelah ditutup rendah pada Mac lepas.
Harga perak meningkat empat peratus semalam kepada AS$24.10 (RM102.47) satu auns – AFP