JOHOR BAHRU – Seorang posmen Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) yang disyaki terlibat dalam kejadian melastik anjing menggunakan gelang getah digantung tugas sementara.
Pos Malaysia dalam satu kenyataan berkata, kakitangannya yang bertugas di Pos Malaysia cawangan Kluang digantung tugas sementara bagi memberi laluan siasatan dalaman dijalankan.
“Kami telah mengenal pasti posmen yang berada dalam video itu dan dia telah digantung kerja sementara menunggu hasil siasatan.
“Pos Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan kesalahan daripada pekerja kami dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang tegas termasuk menamatkan perkhidmatan mereka,” kata kenyataan itu.
Aksi posmen itu dirakam menerusi televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi 21 saat hingga tular di laman sosial.
Difahamkan, kejadian itu berlaku di sebuah taman perumahan di Kluang dekat sini.
Semalam, kelab pencinta haiwan, Malaysia Independent Animal Rescue’ (Miar) telah memuat naik video di Facebook memaparkan tindakan posmen tersebut.
Susulan kejadian itu, anjing berkenaan didakwa mengalami kecederaan pada mata kiri akibat perbuatan posmen tersebut.
Tindakan posmen terbabit telah mendapat perhatian dan kecaman pengguna laman sosial selain mendesak supaya tindakan sewajarnya dikenakan ke atasnya.-K! ONLINE