PUTRAJAYA – Sebanyak 3,545 kes baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes Covid-19 di Malaysia sebanyak 291,774 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, satu kes import mendapat jangkitan dari luar negara dan sebanyak 3,544 kes penularan tempatan.
Menurutnya, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula sebanyak 30,677 kes.
“Selain itu, terdapat 3,331 kes sembuh hari ini dengan jumlah kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 di Malaysia sebanyak 260,009 kes.
“Terdapat 12 kes kematian baharu hari ini menjadikan sebanyak 1,088 kes kematian Covid-19 di Malaysia,” katanya pada Facebook rasmi beliau di sini hari ini.
Ujarnya, sebanyak 189 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 88 kes memerlukan bantuan pernafasan. -K!ONLINE