KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengeluarkan perintah sementara (interim) yang melarang Kerajaan Malaysia menghantar lagi pendatang rakyat Myanmar pulang ke negara asal.
Perintah itu yang dikeluarkan oleh Hakim Datuk Seri Mariana Yahya berkuat kuasa sehingga 9 Mac ini.
Mahkamah turut menetapkan tarikh yang sama bagi keputusan sama ada dua organisasi bukan kerajaan (NGO) dibenar memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Kerajaan Malaysia menghantar pulang 1,200 rakyat Myanmar ke negara itu.
Terdahulu, Mariana mendengar penghujahan peguam Datuk S. Ambiga dan Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar yang mewakili dua organisasi bukan kerajaan (NGO), Asylum Access Berhad serta Aimal Sdn. Bhd selaku pemohon.
Sementara Peguam-peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly dan S. Narkunavathy mewakili responden-responden terdiri daripada Ketua Pengarah Imigresen, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia.
Pada prosiding hari ini, responden membantah kebenaran semakan kehakiman atas alasan Seksyen 59A Akta Imigresen tidak membenarkan semakan kehakiman kecuali atas alasan kegagalan mematuhi sebarang prosedur diperuntukan di bawah undang undang.
Selain itu, pemohon bukanlah pihak yang terkesan dengan keputusan responden menghantar warga Myanmar pulang ke negara asal.
Bagaimanapun, pemohon menghujahkan, Kerajaan Malaysia telah melanggar perintah penggantungan sementara yang dikeluarkan oleh mahkamah semalam.
Asylum dan Aimal memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan kerajaan menghantar pulang kesemua pelarian itu termasuk
kanak-kanak yang ditahan di pusat-pusat tahanan imigresen ke Myanmar melalui kapal laut.
Semakan kehakiman itu antara lain memohon agar keputusan Kerajaan untuk menghantar balik individu-individu yang telah diiktirafkan oleh United Nations High Commission for Refugees (“UNHCR”) sebagai pelarian (“refugee”), digantung sehingga pelupusan pendengaran kebenaran untuk semakan kehakiman.
Pemohon memohon agar keputusan responden menghantar balik kanak-kanak dan ibu-bapa mereka atau salah seorang daripada ibu-bapa mereka masih berada di Malaysia, digantung.
Dakwa pemohon, jika kesemua pelarian itu dihantar pulang ke Myanmar, mereka akan mengalami ancaman nyawa berikutan Kerajaan Myanmar atau tentera negara itu didakwa mendiskriminasi dan mengancam komuniti Muslim di negara berkenaan
Semalam, Jabatan Imigresen menghantar pulang 1,086 pendatang asing tanpa izin (PATI) secara sukarela menggunakan tiga buah kapal Tentera Laut Myanmar melalui Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak.
Mereka yang dihantar pulang tidak melibatkan etnik Rohingya atau pencari suaka sebaliknya terlibat dalam pelbagai kesalahan seperti tiada dokumen pengenalan diri, memalsukan dokumen, tinggal lebih masa selain terlibat dalam kesalahan jenayah lain. – K! ONLINE