DUNGUN – Seorang duda yang disyaki pengedar dadah berjaya ditahan polis di dalam sebuah ladang sawit di Felda Kerteh 3, Ketengah Jaya dekat sini pada kelmarin.
Lelaki berusia 47 tahun itu ditahan dalam serbuan di lokasi berkenaan pada pukul 12.30 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, serbuan itu berjaya menjumpai 33 botol mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin dan dua paket mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu.
“Kedua-dua dadah yang masing-masing seberat 165.7 gram dan 10 gram itu dianggarkan bernilai lebih RM22,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun di sini hari ini.
Baharudin berkata, siasatan awal percaya bekalan dadah tersebut baharu diperolehi suspek baru-baru ini.
Tambah beliau, bekalan dadah dipercayai untuk pasaran sekitar daerah tersebut boleh menampung kira-kira 8,785 penagih dadah.
“Ujian urin suspek mendapati dia positif dadah jenis heroin selain mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya. – K! ONLINE