PETALING JAYA – Tentera Darat (TDM) menyasarkan untuk melaksanakan kira-kira 56 Projek Jiwa Murni (PJM) di seluruh negara melibatkan peruntukan kira-kira RM3 juta pada tahun ini.
Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain berkata, projek tersebut melibatkan kerja-kerja membina dan membaik pulih rumah terutamanya golongan asnaf, veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan mereka yang terkesan dengan penularan pandemik Covid-19 ketika ini.
“Kita (TDM) memberi jaminan bahawa 80 peratus daripada jumlah yang dirancang ini akan dapat dilaksanakan, manakala baki selebihnya bergantung kepada situasi pandemik yang melanda negara.
“Walaubagaimanapun, TDM akan terus komited dalam membantu rakyat yang memerlukan terutama golongan yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zamrose berkata, Kerajaan Negeri Sarawak juga telah bersetuju untuk memberikan peruntukan sebanyak RM1.5 juta bagi melaksanakan PJM meliputi tiga kawasan iaitu Gedong, Simunjan dan Sadong Jaya.
“Sejumlah RM500,000 telah diperuntukkan bagi PJM di Gedong, manakala baki selebihnya akan diperuntukkan bagi Simunjan dan Sadong Jaya.
“Untuk rekod, sebanyak 17 buah PJM sedang dilaksanakan di Gedong, meliputi kerja-kerja seperti membaik pulih 12 buah rumah, membina tiga titi baru bagi tiga buah rumah, menyelenggara Tanah Perkuburan Islam Gedong serta menyelenggara dan mengecat Masjid Gedong,” katanya.
Terdahulu, beliau telah menyempurnakan Pelancaran Projek Jiwa Murni sempena sambutan Hari Tentera Darat Ke-88 bertempat di perkarangan rumah kediaman Rahim Bujang Ahmad, Gedong, Sarawak semalam.
“Setelah mengambil kira keadaan kesihatan (Rahim) yang menghidap penyakit strok dan keluarganya, pihak TDM telah mengatur gerak Skuadron Ketiga Rejimen Askar Jurutera Diraja (3 Skn RAJD) untuk melaksanakan projek membaik pulih kediaman tersebut.
“Projek tersebut turut mendapat sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Gedong, Datuk Mohd. Noroden Majais,” katanya. – K! ONLINE