Oleh NIK SUKRY RAMLI
KUANTAN – Sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 melanda dunia dan negara boleh dipulihkan semula jika Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjaya mencapai sasaran ditetapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, proses pemulihan sektor pelancongan sangat bergantung kepada pelaksanaan PICK bagi mendapatkan keyakinan pelancong yang bercadang untuk datang ke negara ini.
“Kalau kita hendak tarik pelancong datang, kita kena tengok apa yang kita boleh tawarkan dan jaminan yang boleh kita berikan.
“Oleh sebab itulah saya sangat optimis bahawa isu dihadapi sektor pelancongan ketika ini sangat bergantung kepada kejayaan program PICK dilancarkan baru-baru ini.
“Kita ambil contoh di Pahang, untuk memberi keyakinan dan menggalakkan mereka (pelancong) datang, kita perlu tunjukkan bahawa negeri ini sudah hampir bebas sepenuhnya daripada ancaman Covid-19 dan sebahagian besar daripada penduduk juga sudah menerima (suntikan) vaksin,” katanya di sini hari ini.
Beliau yang juga ahli dewan undangan negeri (ADUN) Lanchang berkata, sektor pelancongan di Pahang berada dalam keadaan sangat kritikal dan sejak tahun lalu, sektor berkenaan kehilangan lebih 50 peratus kedatangan pelancong.
Katanya, pengusaha hotel antara paling terkesan apabila kira-kira 40,000 bilik disediakan untuk aktiviti pelancongan, tidak dapat digunakan secara maksimum berikutan pergerakan rentas daerah dan negeri tidak dibenarkan.
“Itu baru kita tengok isu dihadapi pengusaha hotel, belum lagi mereka yang mengusahakan motel dan inap desa. Kesan pandemik (Covid-19) ini memang membawa rantaian masalah kepada semua pihak,” katanya.
Selain mengharapkan kejayaan PICK, Mohd Sharkar turut mencadangkan supaya kerajaan dapat mempertimbangkan kebenaran merentas daerah dan negeri bagi tujuan pelancongan domestik.
“Sekarang ini pun ada negara atau tempat disahkan berada dalam kawasan hijau, dibenarkan ke negara yang juga zon hijau, mungkin kita juga boleh mengambil langkah serupa untuk membantu (memulihkan) sektor pelancongan, asalkan mereka mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,”ujarnya. – K! ONLINE