ISKANDAR PUTERI – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) berjaya menggagalkan cubaan membawa keluar ubi kentang seberat 850 kilogram (kg) tanpa permit eksport sah ke Singapura di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), semalam.
Pengarah Maqis Johor, Nur Afifah A. Rahman berkata, produk berkenaan dikesan pihaknya ketika pemeriksaan rutin dibuat terhadap sebuah lori pada pukul 7.30 malam.
“Pemeriksaan dibuat menemui 1,000 kg ubi kentang yang diletakkan di dalam 100 guni bernilai lebih kurang RM1,020 bersama sayur-sayuran lain.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, jumlah barang dagangan yang dibawa tidak sama seperti di dalam permit yang diikrarkan iaitu 150 kg ubi kentang telah mendapat permit eksport sah manakala 850 kg tidak mempunyai permit yang sah dari Jabatan Maqis,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambahnya, pemandu lori yang berusia 27 tahun telah dilepaskan setelah memberi kerjasama dan diambil rakaman percakapan manakala lebihan 850 kg ubi kentang tersebut ditahan untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE