SETAHUN lalu negara berada pada krisis politik yang meruncing. Lebih kurang pada tarikh hari ini, Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatannya sehingga semua jawatan menteri Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) ‘melayang’.
Keputusan Tun Mahathir itu bertitik tolak daripada dakwaan beliau telah kehilangan sokongan akibat penarikan diri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) daripada gabungan PH.
Kemelut yang bermula pada 21 Februari 2020 berikutan mesyuarat Majlis Presiden PH yang berlangsung tegang, diikuti ‘Langkah Sheraton’ selang dua hari kemudian.
Sejarah Malaysia juga menyaksikan seorang ketua eksekutif atau ketua kerajaan meletak jawatan pada 24 Februari selepas parti komponen PH gagal bersepakat untuk menyelesaikan masalah dalaman.
Malaysia berdepan kebuntuan kerajaan selama enam hari bermula perletakan jawatan Tun Mahathir sebelum Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah pada 1 Mac 2020 sebagai Perdana Menteri kelapan.
Muhyiddin kemudian menubuhkan kerajaan baharu pada 10 Mac 2020 yang dikenali kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Mujur semasa krisis tersebut berlaku, Malaysia hanya mencatatkan jumlah kumulatif kes Covid-19 sebanyak 25 kes pada 29 Februari 2020.
Bermula 11 Januari lalu kerajaan telah mewartakan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 sehingga 1 Ogos depan sebagai langkah proaktif mengekang penularan pandemik Covid-19 dalam negara.
Ordinan itu juga menggariskan sebarang pilihan raya umum, pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil serta persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat dilaksanakan.
Sekurang-kurangnya usaha melawan Covid-19 tidak terganggu dengan situasi politik negara. Malaysia kini berdepan tiga masalah utama, iaitu penularan Covid-19, ekonomi dan ketidakstabilan
politik yang berpanjangan.
Pada Ahad lalu, iaitu 21 Februari 2021, negara menerima kumpulan pertama vaksin Covid-19 PfizerBioNTech sebanyak 312,390 dos.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mengumumkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) diawalkan ke hari ini berbanding tarikh asal pada Jumaat ini.
Walaupun dalam usaha perolehan vaksin, Malaysia agak terlewat berbanding negara jiran Indonesia dan Singapura tetapi kita tetap berada di landasan tepat dalam usaha menangani pandemik Covid-19.
Penulis percaya kejayaan melawan Covid-19 bakal menjadi kunci untuk ekonomi yang lebih stabil. Sistem keselamatan, kewangan, pendidikan dan sosial yang terkesan dapat dipulihkan.
Lebih penting mandat rakyat dalam memilih kerajaan dapat dikembalikan. Jadi buat masa ini bersabarlah, hentikan segala kerusuhan dalam apa juga tindakan.