GUA MUSANG – Dua buah premis di Kawasan Industri Gua Musang di sini disita selepas dipercayai menyimpan sebanyak 3,926 liter minyak diesel tanpa kebenaran dianggarkan bernilai RM9,029 hari ini.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Gua Musang, Tuan Mohd. Koma Shapii berkata, serbuan dilakukan di dua premis itu pukul 12.25 tengah hari hingga 1 tengah hari tadi.
Katanya, kedua-dua premis dikesan menyimpan dan memiliki barang kawalan tanpa kebenaran pengawal bekalan.
“Berdasarkan siasatan, dua premis terbabit didapati menjalankan kegiatan itu sejak setahun lalu.
“Bekalan bahan bakar tidak sah itu dipercayai untuk kegunaan sektor perkayuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Tuan Mohd. Koma, pemilik kedua-dua premis itu dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman didenda sehingga RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. -K! ONLINE.