KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan dalam kes bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim, memaklumkan bahawa 13 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dipertuduhkan adalah cacat, tidak berasas dan mala fide (berniat jahat).
Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Abdul Azeez ketika berhujah berkata, pertuduhan berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah itu bertujuan untuk merosakkan reputasi anak guamnya selaku ahli parlimen.
“Tiada satu pun elemen pertuduhan yang dirangka terhadap tertuduh dikaitkan dengan Tabung Haji, sedangkan siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pada awalnya didakwa melibatkan penyelewengan wang agensi itu,” katanya.
Selain itu Amer Hamzah turut berhujah intipati pertuduhan berkaitan empat projek berasingan yang dikemukakan terhadap tertuduh sepatutnya diasingkan dalam pertuduhan berlainan dan bukannya dirangkum dalam pertuduhan pertama kes rasuah.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Aslinda Ahad pula berhujah, permohonan tersebut tidak wajar dilayan dan perlu ditolak kerana ia bersifat pramatang pada peringkat ini.
“Hujah pembelaan hari ini seolah-olah mahkamah telah selesai mendengar keterangan semua saksi pada akhir kes pendakwaan, sedangkan perbicaraan masih berjalan dan baru mendengar keterangan lima saksi,” ujarnya.
Selepas selesai mendengar hujah daripada kedua-dua pihak Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan 12 Mac ini bagi keputusan sama ada untuk membenarkan atau menolak permohonan tersebut. -K! ONLINE.