KUALA TERENGGANU – Pengusaha hotel termasuk milik kerajaan negeri Terengganu tidak pernah berniat untuk menjejaskan periuk nasi penjaja kecil apabila turut serta membuka gerai makanan murah sejak akhir-akhir ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, inisiatif yang diambil pengusaha hotel tersebut tidak seharusnya dilihat sebagai tindakan agresif bersaing dengan penjaja kecil sedia ada.
“Saya percaya pengusaha hotel tersebut tidak mempunyai niat hendak melawan (bersaing) dengan penjaja kecil.
“Inisiatif membuka gerai (dengan menjual makanan pada harga mampu milik) lebih kepada untuk menaikkan kembali semangat kakitangan yang merundum setelah operasi hotel terjejas teruk ekoran penularan pandemik Covid-19,” katanya selepas menyampaikan Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (Berkat) kepada wakil pemandu teksi lapangan terbang dan pemandu pelancong di sini hari ini.
Beliau mengulas trend kebanyakan pengusaha hotel di Terengganu termasuk milik kerajaan negeri seperti Duyong Marina & Resort, Hotel Permai dan Hotel Primula membuka gerai menjual aneka makanan semurah RM2 sebungkus.
Senario tersebut menyebabkan kurang senang segelintir penjaja makanan tempatan yang turut terjejas dengan Covid-19 kerana harga ditawarkan terlalu murah dan sukar disaingi.
Ariffin menjelaskan, pengurusan hotel berkenaan juga perlu mencari pendapatan untuk memastikan gaji kakitangan tetap dibayar pada waktu yang sukar ini.
Ujar beliau, setakat ini, kesemua hotel dan resort di Terengganu masih cuba bertahan dan tidak melakukan sebarang pemberhentian pekerja. – K! ONLINE