PETALING JAYA – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah terbesar dengan penahanan seorang wanita warga tempatan bersama dadah bernilai RM7.8 juta di sekitar Lembah Klang pada 19 Februari lalu.
Menerusi serbuan terbabit, seramai enam individu termasuk pasangan wanita berkenaan berusia 22 hingga 46 tahun telah berjaya ditahan.
Timbalan Pengarah Narkotik ( Perlucuthakan Harta / Perundangan / Tahanan) Bukit Aman, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sebanyak 240 ketulan ‘heroin base’ dengan anggaran berat 87.86 kilogram (kg) bernilai RM7.8 juta.
“Sindiket yang digelar ‘Mockingbird’ ini aktif sejak enam bulan lalu dan aktif di sekitar Lembah Klang.
“Mereka memperolehi bekalan dadah dari Myanmar melalui Thailand sebelum dipasarkan di negara ini,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mengulas lanjut, dadah jenis heroin bernilai RM7.8 juta tersebut disyaki boleh digunakan seramai 3,265,865 individu.
“Setiap ketulan dadah ini seberat 700gram dan mampu menghasilkan 22kg dadah jenis heroin.
“Dadah jenis heroin ini akan dijual kepada pengedar sebelum diproses dan dijual kepada penagih dadah,” jelasnya.-K! ONLINE