PUTRAJAYA – Malaysia akan menerima 182,520 dos tambahan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech esok sebagai tambahan kepada 312,390 dos sedia ada yang tiba Ahad lalu.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi Twitter berkata, perolehan tambahan itu akan diagihkan ke seluruh negara termasuk negeri belum menerima bekalan vaksin itu lagi.
“Ia akan diagihkan esok dan Khamis. Mana-mana negeri yang belum menerima vaksin ini akan mendapat bekalan melalui penghantaran tambahan ini,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, berdasarkan data Kementerian Pendidikan, terdapat 55,539 guru yang dikategorikan berisiko tinggi dan akan diusahakan untuk diimunisasi dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Terdahulu, Khairy Jamaluddin meninjau simulasi PICK yang turut disertai Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba di Kementerian Kesihatan di sini hari ini. -K! ONLINE