JOHOR BAHRU – Seorang suri rumah berdepan detik cemas apabila dua anaknya terperangkap dalam kereta Proton Saga FLX dalam kejadian di hadapan sebuah sekolah di Taman Mutiara Rini, Skudai petang semalam.
Dalam kejadian pada pukul 5.52 petang itu, kanak-kanak itu masing-masing berusia satu dan tujuh tahun bagaimanapun berjaya diselamatkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Riduan Akhyar berkata, sebelum kejadian ibu mangsa meninggalkan mereka untuk mengambil seorang lagi anaknya di sekolah berhampiran.
“Ibu mereka keluar tinggalkan kereta dalam keadaan berkunci dan penghawa dingin dipasang dan anaknya yang berusia tujuh tahun mengunci kereta dari dalam.
“Selepas ibu kembali, dia cuba mengejutkan anak yang berusia tujuh tahun yang tertidur untuk membuka kunci pintu kereta namun tidak berhasil sebelum menghubungi bantuan daripada pihak kami,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Riduan berkata, sejurus panggilan kecemasan diterima, dua jentera bersama 12 anggota yang diketuai Komander Operasi, Suriani Adenan dihantar ke lokasi kejadian.
Jelasnya, pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu kereta terbabit sebelum kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan.-K! ONLINE