SEBERANG PERAI – Seorang lelaki yang rebah semasa berjoging di kawasan sawah padi di Kampung Guar Kepayang, Kepala Batas di sini pagi tadi disahkan meninggal dunia akibat masalah jantung.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, mangsa, Jasni Ishak, 50, ditemui terbaring di atas jalan di tepi bendang oleh seorang penduduk kampung sebelum menghubungi ambulans.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa dikatakan keluar dari rumah untuk berjoging kira-kira pukul 7.30 pagi sebelum ditemui tidak sedarkan diri.
“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kepala Batas.
“Hasil bedah siasat petang tadi mendapati dia meninggal dunia akibat saluran jantung tersumbat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelasnya, berdasarkan maklumat daripada isteri mangsa, lelaki itu tidak mempunyai sebarang penyakit dan tiada rekod perubatan sebelum ini. K! ONLINE