PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan bahawa kebakaran yang berlaku di Kilometer 3.2 Jambatan Pulau Pinang petang ini adalah melibatkan kabel 132 kilovolt (kV) dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Tengah ke Bayan Mutiara.
Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir. Husaini Husin berkata, kebakaran dikesan berlaku kira-kira pukul 4 petang, namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
Menurutnya, TNB bekerjasama rapat dengan polis, bomba dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bagi mengawal kebakaran bagi membolehkan aliran trafik di jambatan itu kembali lancar.
“Kami memohon maaf atas kesulitan yang timbul akibat kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Husaini memberitahu, bekalan elektrik kepada semua pengguna di Pulau Pinang masih stabil dan proses baik pulih kerosakan kabel yang terjejas akan segera dijalankan.
Orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi talian TNB CareLine 15454 sekiranya terdapat sebarang masalah. K! ONLINE