PETALING JAYA – Bekas pelakon Zul Yahya mengambil keputusan memberhentikan anak-anaknya daripada meneruskan persekolahan kerana meletakkan ilmu akhirat sebagai keutamaan hidup.
Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram dan Facebooknya, pelakon yang pernah membintangi drama Pepaya itu memberitahu tindakan tersebut dirasakan paling tepat buat masa ini.
“Kami ibu bapa berhentikan anak-anak kami daripada sekolah bukan kerana tak ambil berat masa depan mereka, tetapi kami nak anak-anak kami lebih berjaya di akhirat kelak.
“Insya-Allah ilmu akhirat itu lebih penting daripada segala-gala ilmu,” ujar pelakon berusia 48 tahun itu.
Menjengah ke ruangan komen dalam Instagramnya, rata-rata netizen tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh pelakon tersebut.
Salah seorang pengikutnya dalam Instagram berkata, pelakon itu sepatutnya faham tentang konsep pendidikan pada peringkat sekolah kerana itu juga merangkumi ilmu untuk kegunaan di akhirat.
“Harapnya kita tidak salah faham dan ekstrem. Hantar ke sekolah (anak) juga merangkumi ilmu akhirat. Semua disiplin ilmu ialah ilmu milik Allah SWT dan boleh mendekatkan diri dengan-Nya.
“Tahniah guru-guru di sekolah yang mengajar bersungguh-sungguh anak murid mengenal Allah SWT,” ujar salah seorang pengguna Instagram.
Seorang lagi pengikutnya pula berpendapat bahawa pelakon itu sepatutnya tidak menghalang anaknya mendapatkan pendidikan di sekolah.
“Jangan halang anak untuk cerdik dunia akhirat supaya tak tertipu di dunia dan selamat di akhirat.
“Bahkan pusat tahfiz pun ada silibus. Kena seimbangkan,” ujarnya.
Zul ketika dihubungi Kosmo! berkata, pada hari ini masyarakat lebih mengejar duniawi berbanding ilmu agama yang dituntut oleh Nabi Muhammad SAW.
“Buat masa sekarang lebih baik saya letakkan ilmu akhirat sebagai keutamaan buat anak-anak.
“Berapa ramai yang boleh ikut sunnah Nabi Muhammad SAW pada hari ini? Ramai orang tinggalkan al-Quran dan sunnah Rasulullah yang boleh membawa kejayaan kepada mereka,” katanya.
Ujar Zul lagi, masyarakat hari ini seolah-olah merasakan sunnah dan al-Quran sebagai satu ikutan kuno dan ketinggalan.
“Jadi ramai yang memilih cara kehidupan seperti hari ini dengan tidak mengamalkan sunnah Nabi dengan melebihkan kehidupan duniawi,” ujarnya.
Untuk rekod, Zul mendirikan rumah tangga bersama isteri, Siti Raihan Mohd. Rodzi pada Disember 2007 dan dikurniakan enam orang cahaya mata masing-masing tiga perempuan dan tiga lelaki berusia antara setahun hingga sembilan tahun. – K! ONLINE