fbpx

25,000 penduduk sudah hilang sabar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENDUDUK Taman Armada Fasa Dua, Kuala Kedah dalam daerah Kota Setar menunjukkan tangki dan tong yang digunakan untuk menyimpan air ekoran masalah bekalan air di kawasan perumahan tersebut.

ALOR SETAR – Lebih 25,000 penduduk di Kuala Kedah, di sini sudah tidak dapat menahan sabar lagi apabila masalah bekalan air yang dihadapi mereka sejak lebih 10 tahun lalu masih belum selesai.

Malah, mereka mendakwa masalah tersebut semakin kritikal apabila banyak kawasan perumahan dan perniagaan baharu dibuka di situ.

Sebanyak 11 kawasan terlibat melibatkan tujuh taman perumahan dan empat kampung antaranya Taman Armada Fasa Dua, Taman Sri Putra, Taman Desarina Indah 2 dan 3, Taman Nautika, Kampung Tepi Laut dan Kampung Tengah.

Penduduk Kampung Tepi Laut, Bok Che Napiah, 55, mendakwa kira-kira 100 rumah di kampung itu tidak menerima bekalan air daripada Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) sejak setahun lalu.

“Saya beli lima pam air selepas kerap mengalami gangguan bekalan air, namun hanya satu digunakan untuk mengepam air dari sungai berhampiran bagi kegunaan luaran rumah seperti menyiram pokok.

“Ini kerana, sejak setahun lalu, penduduk di sini tidak menerima setitis air pun daripada paip SADA,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, sepanjang tempoh itu, dia terpaksa membelanjakan lebih RM1,000 untuk membeli air untuk minuman dan tujuan memasak selain kos membasuh pakaian di dobi.

“Lori tangki SADA ada datang bekalkan air tetapi hanya sekali seminggu, memang tidak cukup untuk kegunaan isi rumah saya seramai 11 orang,” ujarnya.

Penduduk Taman Armada Fasa Dua, Zabidi Ramli, 41, berkata, dia terpaksa membeli lima tangki untuk menyimpan air bagi kegunaan harian keluarganya.

“Ramai penghuni perumahan ini berpindah ke tempat lain kerana tidak dapat lagi menahan kesabaran hidup dalam keadaan tidak selesa tanpa keperluan asas tersebut.

“Saya pun mahu pindah jika rumah yang saya beli ini mudah dijual macam jual kereta,” katanya.

Seorang penduduk Taman Sri Putra, Muhammad Hafiz Omar, 38, pula mendakwa, dia dan sebilangan penduduk menerima bekalan air berbau hanyir sejak lebih sebulan lalu, namun masalah itu telah diselesaikan SADA baru-baru ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris mencadangkan kepada SADA untuk menyediakan tangki besar dengan pam khas di setiap kawasan terjejas bagi penyelesaian jangka masa pendek sementara menunggu Loji Rawatan Air Pelubang siap pada 2024.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI