PETALING JAYA – Seramai 48,018 guru adalah antara wira yang tidak didendang dalam memastikan seramai 401,105 pelajar tingkatan lima dapat menjawab peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam keadaan teratur serta berjalan lancar.
Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin menerusi satu hantaran yang dikongsi di akaun Facebok miliknya berkata, dalam keadaan yang mencabar sepanjang tahun lalu, guru-guru yang mengajar murid tingkatan lima bertungkus-lumus menggunakan pelbagai pendekatan bagi mendidik calon SPM yang bakal menduduki peperiksaan.
“Ada yang pada asalnya memilih bersara awal, namun menangguhkan persaraan mereka demi memastikan anak didik mereka dapat membuat persiapan terbaik.
“Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa dalam memastikan peperiksaan SPM yang melibatkan 401,105 calon SPM 2020 dapat dilaksanakan dengan teratur di seluruh negara, terdapat lebih 48,018 guru yang menjadi petugas peperiksaan termasuklah pengawas peperiksaan dan pemeriksa kertas,” tulisnya hari ini.
Menurutnya, bagi guru-guru yang tidak menjadi pengawas peperiksaan pula, mereka bertugas di sekolah masing-masing bagi membantu memastikan keadaan di sekolah teratur dan peperiksaan dapat dijalankan dengan lancar dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Sementara itu, Radzi mengadakan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Impian dan SMK Seri Kembangan, tersentuh melihat kerjasama yang ditunjukkan para pendidik.
“Hanya yang melihat keadaan sebenar dapat menyelaminya. Saya yakin begitulah situasinya di seluruh negara.
“Kami ibarat sebuah keluarga besar yang pastinya ingin melakukan yang terbaik untuk anak-anak. Terima kasih, cikgu!,” ujarnya. – K! ONLINE