KUALA LUMPUR – Seramai 876 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa semalam dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, secara kumulatifnya, sejak 24 Julai 2020, seramai 128,673 individu telah pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 76 hotel dan 12 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, seramai 7,582 individu telah dikuarantin dan seramai 120,409 orang dibenarkan pulang manakala 682 lagi dibawa ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, seramai 509 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) semalam.
“Daripada jumlah itu, seramai 466 individu telah dikompaun, 39 direman manakala empat lagi individu dijamin,” ujarnya.
Antara kesalahan direkodkan ialah rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (120); gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (111), tiada penjarakan fizikal (95), aktiviti Perjudian (54), tidak memakai pelitup muka (49), aktiviti Pusat Hiburan (37), keluar rumah tanpa alasan munasabah (11), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (8) dan lain-lain (24). – K! ONLINE