PETALING JAYA – Sidang khas hari ini bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Emperoh Jambu, Padawan, Bahagian Kuching, Sarawak bermula 23 Februari hingga 8 Mac 2021.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sebanyak 60 kes positif Covid-19 telah dilaporkan yang melibatkan lokaliti tersebut.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Emperoh Jambu, Padawan, Bahagian Kuching, Sarawak bermula esok sehingga 8 Mac depan.
“KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti berkenaan dan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, pelaksanaan PKPD itu untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas hampir 1,215 orang penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti.
Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, kerajaan turut bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Kampung Tanah Merah, Kota Marudu, Sabah bermula 23 Februari sehingga 8 Mac 2021.
“KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes secara mendadak yang melibatkan lokaliti ini apabila sebanyak 57 orang didapati positif Covid-19 hasil daripada 226 ujian saringan yang telah dilaksanakan.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas hampir 545 orang penduduk yang tinggal di lokaliti ini dan seterusnya untuk mengawal jangkitan Covid-19 dalam komuniti,” ujarnya. – K! ONLINE