DUNGUN – Kerisauan lebih 300 peneroka di Felda Kerteh 3 dan Kerteh 4 di Ketengah Jaya dekat sini berakhir selepas seekor harimau belang yang membaham 35 ekor lembu ternakan penduduk berjaya ditangkap hari ini.
Harimau jantan seberat lebih 160 kilogram yang digelar ‘Awang Rasau’ tersebut berjaya ditangkap di ladang kelapa sawit Felda Kerteh 3 dekat sini pada pukul 11.30 pagi.
Penolong Pegawai Hidupan Liar Kanan, Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Nik Mohd. Zamani Awang berkata, pihaknya dan Jabatan Perhilitan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menerima maklumat berhubung penemuan harimau berusia antara 14 dan 16 tahun daripada penduduk kampung kelmarin.
“Kami memulakan operasi pada pukul 8 pagi tadi dan mengambil masa hampir empat jam untuk menangkap harimau belang berkenaan.
“Haiwan berkenaan ditemui kira-kira tiga kilometer dari lokasi dimaklumkan penduduk,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Perhilitan Dungun di sini hari ini.
Kosmo! 10 Disember tahun lalu melaporkan seramai 309 peneroka terutama 30 pengusaha haiwan ternakan di Felda Kerteh 4, Ketengah Jaya dalam ketakutan dan kebimbangan berikutan serangan harimau belang sejak awal tahun ini.
Tambah membimbangkan penduduk, kejadian serangan terhadap lembu yang diternak di dalam ladang kelapa sawit semakin menjadi-jadi sejak bulan November lalu dengan purata tiga ekor seminggu. – K! ONLINE