fbpx

Kisah orang susah dan ahli politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

 

MUSTAPA LAKAWA, PENGARANG BERITA

 

KISAH orang susah di Malaysia bukanlah perkara baharu. Ia adalah situasi normal yang melingkari pembentukan sesebuah negara terutama bagi negara membangun.

Susah biasanya disamakan dengan sukar, payah, rumit ataupun sulit. Dalam konteks hidup bermasyarakat, kehidupan yang susah sering kali digambarkan sebagai mereka yang serba kekurangan, miskin dan papa.

Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka juga memberi defi­nisi susah itu sebagai rasa tidak puas hati kerana mengalami kesulitan.

Pada pertengahan bulan lalu, tular di media sosial me­ngenai kesusahan yang dialami seorang mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) dikenali Veveonah Mosibin.

Kisah gadis berusia 18 ini telah ‘menjentik hati’ banyak pihak apabila dia sanggup tidur di atas pokok semata-mata untuk mendapatkan capaian internet bagi menjawab pe­periksaan dalam talian.

Veveonah merupakan anak jati Kampung Sapatalang, Pitas dan kampungnya terletak jauh di utara Sabah,  kira-kira 230 kilometer dari Kota Kinabalu.

Kedudukannya yang agak terpencil memungkinkan kampung tersebut tidak mempunyai capaian internet yang baik.

Difahamkan, lebih 52 peratus pelajar di Sabah tidak mempunyai akses internet dan telefon pintar, sama ada mereka tinggal di kawasan terpencil, ataupun mereka tidak mempunyai kemampuan untuk membeli telefon.

Justeru, kemunculan Veveonah yang berkongsi pengalaman peritnya dalam video berdurasi lebih 11 minit itu perlu diambil sebagai satu pengajaran.

Dalam sidang Parlimen baru-baru ini, beberapa wakil rakyat telah membangkitkan isu-isu sekolah daif. Bagi mereka, seperti mana kisah Veveonah yang menuntut semua pihak bertindak, kisah sekolah daif juga perlu diletakkan dalam senarai keutamaan para pegawai di Kementerian Pendidikan.

Lebih 60 tahun mencapai kemerdekaan, permasalahan mengenai sekolah-sekolah daif seperti tiada kesudahan. Mengambil contoh di Sabah, daripada 1,296 buah sekolah yang ada di negeri itu, 589 daripadanya adalah sekolah daif dengan 91 sekolah diklasifikasikan sebagai daif skala tujuh.

Skala tujuh merujuk kepada sekolah yang tidak selamat untuk diduduki. Ia bermaksud sekolah tersebut dalam keadaan daif yang boleh memberi risiko keselamatan kepada­ guru dan pelajar.

Sekolah tersebut juga mungkin dibina lokasi yang tidak selamat, sama ada terdedah kepada banjir ataupun kawasan tanah runtuh.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Seri Johari Abdul ketika perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini ada membuat teguran kepada semua ahli politik agar melihat lebih serius isu sekolah-sekolah daif khususnya di Sabah dan Sarawak.

Memetik antara intipati ucapan ahli politik veteran itu, beliau mahu isu sekolah daif diselesaikan segera kerana telah berlarutan sejak sekian lama sekali pun pentadbiran kerajaan bertukar tangan beberapa kali.

Apa yang disuarakan wakil rakyat itu ada benarnya dan jangan terkejut, andai selepas ini lebih ramai anak-anak­ luar bandar bangkit untuk ‘memprotes’ seperti yang dilakukan Veveonah.

Berilah peluang kepada anak-anak kita untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah sesama mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI