ALOR SETAR – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kindness Malaysia membuka peluang kepada golongan pencari kerja atau gelandangan yang ingin mempunyai pendapatan sendiri dengan bekerja di premis mencuci kenderaan terpilih di negeri ini.
Pengerusinya, Mohd. Azrul Mohd. Razak berkata, inisiatif itu diambil selepas pihaknya mendapati permohonan bagi mendapatkan bekalan makanan di Food Bank Kindness semakin meningkat.
“Hampir 200 keluarga mohon bekalan makanan menerusi program Kindness dan rata-rata mereka memberi alasan kehilangan punca pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.
“Sehubungan itu, saya dengan kerjasama beberapa pemilik premis mencuci kenderaan bersetuju untuk membuka peluang kepada golongan terlibat untuk memperoleh pendapatan sendiri,” ujarnya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurutnya, bayaran gaji tertakluk kepada persetujuan pemohon dan pemilik premis mencuci kenderaan tersebut.
Tambahnya, pihaknya bercadang untuk memperluaskan program itu ke seluruh negara dan setakat ini, sebanyak 10 buah premis bersetuju bekerjasama.
Bagi mereka yang berminat boleh menghubungi Kindness Malaysia di talian 016-707 4798 untuk maklumat lanjut. – K! ONLINE