JOHOR BAHRU – Sepasang suami isteri mencari ibu kandung kepada anak angkatnya bagi membolehkan urusan dokumentasi dilakukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Fadhillah Idris, 32, yang menetap di Taman Daya di sini berkata, kanak-kanak itu, Muhammad Tashriq Aqasya Abdul Fatah, 4, yang kini dalam penjagaannya bersama suami, Mohd. Zaiqalahaqim Mohamad, 31, masih belum sah taraf sebagai anak angkat mereka.
Menurutnya, hal itu kerana JKM memerlukan surat akuan pengesahan penyerahan Muhammad Tashriq daripada ibu kandungnya, Fidah Saleh, 22.
“Kami memelihara Muhammad Tashriq sejak dia berusia setahun selepas mengambilnya daripada ibu saudara suami saya. Kami tidak mengambilnya secara terus daripada ibunya selepas dia melahirkan anak itu pada 13 Disember 2017.
“Selepas Muhammad Tashriq dilahirkan, ibunya yang ketika itu berusia 18 tahun menyerahkan anak itu kepada ibu saudara suami saya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini hari ini.
Tambahnya, keputusan untuk mengambil kanak-kanak itu sebagai anak angkat dibuat memandangkan ibu saudara suaminya sudah semakin uzur, malahan dirinya dan suami juga masih belum dikurniakan cahaya mata.
“Muhammad Tashriq mempunyai sijil kelahiran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Johor tetapi kini memerlukan surat pengesahan anak angkat daripada JKM yang memerlukan persetujuan ibu kandungnya.
“Malangnya sehingga kini kami masih tidak dapat menjejaki ibu kandungnya yang berasal dari Kemboja walaupun pelbagai usaha telah dilakukan termasuk menghubungi ibu saudara suami saya dan kenalan ibu kandungnya tetapi tetap menemui jalan buntu. Ibunya dikatakan sudah pulang ke Kemboja.
“Kehadiran Fidah amat diperlukan untuk proses penyerahan anak angkat dan seterusnya proses kewarganegaraan Muhammad Tashriq,” ujarnya.
Fadhillah memberitahu, dia dan suami sudah menganggap anak angkatnya itu seperti anak kandung dan tidak sanggup berpisah dengannya walaupun kini sudah memiliki seorang cahaya mata sendiri yang berusia dua tahun.
Sehubungan itu Fadhillah meminta orang ramai yang mengenali atau mengetahui di mana Fidah berada untuk menghubunginya menerusi talian 018-202 4455.-K! ONLINE