TAMPIN – Tradisi makan percuma buat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelai (Felda) diteruskan buat tahun keempat bagi memberi sokongan serta galakan buat calon menjawab peperiksaan dengan lebih baik.
Uniknya, pada tahun ini, tradisi berkenaan diawalkan bermula pada 20 Januari lalu membabitkan seramai 81 calon SPM 2020 susulan pendemik Covid-19 atas inisiatif pihak sekolah bagi mengurangkan pergerakan keluar masuk ke sekolah.
Menurut Pengetua SMK Jelai (Felda), Lily Mastura Kamarudin, pada 5 hari pertama peperiksaan SPM dijalankan ini, pihaknya menerima bantuan kewangan dari badan bukan kerajaan (NGO) seperti Kami Anak Felda ,(KAF) Jelai 3, Gerakan Persatuan Wanita (GPW) JelaI 3 dan Persatuan Belia MBFM Felda Jelai 3.
“Kami warga sekolah sangat berterima kasih dengan komitmen bukan hanya guru-guru yang menyumbang, bahkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), kepimpinan setempat dan juga NGO.
“Jika sebelum ini bermula 20 Januari lalu kami hanya memberikan makan tengah hari percuma bagi mengelakkan pelajar pulang ke rumah, kini kami turut memberi makanan percuma selama 12 hari sehingga 25 Mac sebanyak tiga kali iaitu sarapan pagi, minum pagi dan makan tengah hari,” katanya sempena Program Suntikan Semangat Calon SPM 2020 di SMK Jelai (Felda) di sini, pagi tadi.
Pada program berkenaan, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Gemas, Datuk Abdul Razak Ab. Said menyampaikan makanan percuma kepada sebahagian calon SPM 2020.
Sementara itu, Pengerusi KAF Wilayah Raja Alias, Mejar (Bersara) Abu Ibon berkata, program berkenaan merupakan sebahagian daripada program KAF bagi memberi semangat kepada anak cucu yang terdiri daripada generasi felda untuk mendapatkan keputusan yang baik dalam SPM.
Menurutnya, selain pemberian makanan percuma, pihaknya juga menyalurkan sumbangan kertas A4 bagi kegunaan guru dan calon SPM 2020.
“Kita harap agar usaha ini akan dapat menaikkan semangat kesemua calon SPM 2020 yang terkesan pembelajarannya akibat Covid-19.
Bagaimanapun menurutnya, usaha dan kerjasama warga sekolah bagi membantu calon SPM dalam pelbagai segi bukan hanya akedemik amat dihargai demi masa depan generasi felda. -K!ONLINE