PUTRAJAYA – Barisan hadapan termasuk anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), petugas kesihatan dan pegawai muda kerajaan akan diberi keutamaan bagi memiliki unit Residensi Prihatin.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya sudah mengenal pasti plot tanah bagi Residensi Prihatin masing-masing di Putrajaya dan Kuala Lumpur.
Beliau berkata, sebanyak 12,000 unit Residensi Prihatin akan dibina di Putrajaya dan ia sudah mendapat kelulusan kerajaan untuk dibangunkan.
“Kami menghargai jasa barisan hadapan dan pegawai-pegawai awam yang sudah setahun berhempas pulas melawan Covid-19 justeru, mereka harus diberi keutamaan.
“Kita tidak meletakkan sebarang had pemilikan bagi barisan hadapan asalnya mereka belum memiliki kediaman. Semua barisan hadapan patut diberi ruang dan perhatian,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Residensi Prihatin di Putrajaya secara maya hari ini.
Annuar berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) akan membangunkan sebanyak 12,253 unit Residensi Prihatin berkeluasan 69.6 meter persegi dengan melibatkan 10 tapak projek pembangunan.
Annuar berkata, projek itu akan dibina di kawasan strategik di Presint 5, 7, 11, 16 dan 19 dan kini sedang dalam peringkat perancangan dengan pembinaan keseluruhannya dijangka siap sepenuhnya tahun 2025.
Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 1,592 unit Residensi Prihatin Kenanga dan Melur yang akan dibangunkan, dijual pada harga RM200,000 iaitu lebih rendah daripada harga pasaran.
Katanya, individu yang lahir, menetap dan bekerja di Wilayah Persekutuan yang berminat untuk memiliki unit Residensi Prihatin boleh membuat pendaftaran permohonan secara atas talian di portal Residensi Prihatin https://residensiprihatin.kwp.gov.my. bermula esok.-K!ONLINE